Friday, 18 July 2014

Mengimbangi antara HAMASAH dan RASIONAL tentang PALESTIN


Bumi Isra’ di wilayah Gaza dibedil lagi oleh Rejim Zionis. Ramadhan 1435H bersulam ujian buat ummah.

Seruan-seruan penuh dengan semangat berkobar-kobar menyatakan kemarahan berderetan di alam maya. Semuanya penuh dengan hamasah. Profile-profile picture facebook juga mula bertukar wajah kepada warna merah hijau putih dan hitam serta wajah-wajah mujahidin. Darah mula terasa mengalir deras dipenuhi semangat jihad, sekalipun jasad terletak beribu-ribu kilometer jauhnya dari saudara yang dizalimi di sana.

Alhamdulillah, ummah ini masih mengambil berat urusan saudara mereka.

Alhamdullilah, rasa persaudaraan muslim itu masih ada.

Rasa dibakar dengan semangat jihad apabila melihat saudara seiman dizalimi itu menjadi cerminan kepada iman. Rasulullah sendiri pernah berpesan tentang siapa yang tidak mengambil berat urusan kaum muslimin, maka dia bukanlah daripada kalangan mereka iaitu orang-orang Islam.

Namun begitu, hamasah atau semangat semata-mata tidak mencukupi. Saya akui saya juga pernah marak dibakar semangat jihad tika melihat kezaliman yang dilakukan kepada saudara seiman di bumi Gaza. Bahkan sehingga ke hari ini juga. Kesucian Masjidil Aqsa yang menjadi taruhan dalam pertembungan antara mujahidin dengan tentera rejim sering mendidihkan darah.

Palestin dan Semangatnya

Semenjak didedahkan tentang Operasi Cast Lead pada penghujung Disember 2008 hingga pertengahan Januari 2009 dan serangan Rejim Zionis ke atas kapal bantuan kemanusiaan Mavi Marmara pada 2009, saya sering jadi bagai api yang disimbah petrol apabila dibicarakan tentang Palestin dan Masjidil Aqsa. Tambah pula ketika itu novel fiksyen sejarah Islam Pak Latip, Salahuddin Ayubi ; Penakluk Jerusalem bagai ‘goreng pisang panas-panas’di pasaran. Maka, bersemarak  lagi semangat jihad dalam jiwa saya. Turning point dalam hidup saya juga bertitik tolak daripada perkara ini. Isu Masjidil Aqsa ialah antara faktor dominan mengapa saya menjadi saya yang seperti hari ini.

Selepas memasuki Pusat Asasi UIAM, saya didedahkan dengan lebih banyak perkara tentang isu Palestin.  Buku, ceramah, aktiviti, bahkan sehingga ke demonstrasi jalan raya. Semuanya demi bumi Isra’ yang tercinta. Dari lagu-lagu dendangan Shoutul Harakah hingga ke bait-bait hadis tentang Baitul Maqdis yang dilagukan oleh Muadz Dzulkefly, semuanya sering menjadi halwa telinga.

Saya masih ingat bagaimana saya mampu menulis tiga siri artikel yang menceritakan tentang isu Palestin sahaja selepas saya pulang daripada beberapa program Palestin pada akhir 2012, iaitu selepas berakhirnya Operasi Pillar of Cloud yang menyaksikan HAMAS memalukan Rejim Zionis dalam tempoh 8 hari. Sejak itu juga saya mula memboikot barangan Israel secara konsisten hingga ke hari ini.

Muslim di hati muslim

Palestin sungguh dekat di hati masyarakat muslim di Malaysia, tidak dinafikan lagi. Berlaku sahaja ledakan di bumi Palestin maka akan bergemalah seruan-seruan beraura jihad serta nukilan-nukilan doa serta nazilah. Solat hajat didirikan di masjid-masjid dan kempen-kempen bagi menyalurkan bantuan mula bergerak. Satu-satunya 'senjata konkrit’ yang berada di tangan masyarakat muslim di Malaysia juga mula digerakkan iaitu kempen boikot.

Alhamdulillah.

Syukur kerana kita masih punya rasa solidariti.

Namun, seperti yang dinukilkan awalnya, semangat sahaja tidak mencukupi. Hamasah atau semangat itu perlu diimbang dengan rasional dan kefahaman. Jika semata-mata semangat maka kita tidak akan bertahan lama dalam ‘pertempuran’ ini. Kita hanya akan menyatakan solidariti dan keprihatinan kepada saudara-saudara kita secara bermusim. Maka, jadilah perkara itu satu trend. Trend yang hanya muncul tika Palestin dibedil. Tika bumi Isra’ itu tidak dihujani peluru berpandu, kita kembali menatap produk-produk rangkaian Israel dan doa mula lekang dari mulut kita.

Semangat semata-mata juga menjadikan kita akhirnya selective dengan isu umat Islam. Hanya apabila bumi Palestin dibedil dan saudara-saudara kita di Palestin dibunuh dan dizalimi, baru kita ‘bising’. Apabila berlaku pembantaian atau kezaliman terhadap saudara seiman kita di bumi selain Palestin, kita hanya bersahaja. Hanya apabila namanya Palestin, baru kita bersuara.  Hanya apabila namanya Gaza, baru kita kalut. Sedangkan ramai lagi saudara seiman kita yang terus menerus ditindas di belahan dunia yang lain.

Apakah patut kita membeza-bezakan saudara seiman kita hanya kerana di Palestin ada Masjidil Aqsa dan di tempat lain tidak ada? Bagaimana rakyat Syria yang menjadi pelarian? Bagaimana muslim di Rohingya yang diancam keselamatannya oleh etnik Rakhine dan tidak dilindungi oleh kerajaan Myanmar? Bagaimana muslim di Xinjiang yang ditekan oleh Kerajaan China? Bahkan di sana mungkin ada lagi yang tidak ketahui kezaliman yang dilazimkan ke atas mereka kerana tiada pendedahan kepada dunia.

Dicatatkan setakat sekarang bahawa sudah hampir sembilan juta orang rakyat Syria yang menjadi pelarian akibat daripada pergolakan bersenjata di dalam negara itu. Statistik kematian pula mencatatkan angka hingga dua ratus ribu kematian di Syria berbanding lima puluh ribu kematian di Palestin dikira sejak tahun 1929. Ini bermakna saudara kita di Syria menerima ujian yang lebih dasyat. Begitu juga halnya di Rohingya. Penindasan dan penafian hak serta ancaman keselamatan terhadap muslim Rohingya sudah berlarutan lebih lama daripada pendudukan Rejim Zionis di bumi Palestin.

Imbangi hamasah dengan ilmu dan rasionalisasi

Bukanlah niat saya mahu mengatakan mana satu yang lebih utama atau mengurangkan kecaknaan ke atas Palestin. Namun, kita perlu ada peningkatan dalam paradigma kita memberi perhatian kepada ummah. Luaskan lagi kecaknaan kita dan imbangi hamasah kita dengan ilmu kefahaman dan rasionalisasi.

Apa guna jika hari ini kita berteriak-teriak bencikan Rejim Zionis tetapi usaha boikot kita hanya bertahan sebulan? Menaip di laman sosial hashtag untuk doakan Palestin atau Gaza tapi kita culas untuk mendirikan solat. Saat manakah kita akan berdoa jikalau begitu?

Penting sekali untuk kita imbangkan semula semangat kita yang berkobar-kobar itu agar semangat kita tidak hanya menjadi ‘peluru kertas’ yang membalas kezaliman Rejim Zionis, sebaliknya mampu benar-benar mengesankan Rejim Zionis. Cuba konsistenkan doa kita dan usaha boikot kita.

Selain itu, luaskan juga kecaknaan kita ternasib umat Islam keseluruhannya. Tidak hanya kepada saudara seiman yang berada Palestin sahaja.

Semuanya kerana kita semua bersaudara.

“Please, please. Please pray for them and them only. Wallahi, they suffer worst than us.”

Ahmed Ayesh Alnajjar, ex-translator of Prime Minister of Palestine on his commentary about Syria’s conditions. (Stadium Melawati Shah Alam, 9th Disember 2012) 

Permulaan Baru

Bismillah...

Alhamdulillah kini saya akan menulis di blog baru dengan lebih terarah gaya penulisannya.

Blog lama saya masih wujud dan boleh dilawati di www.fikrulmuslim.blogspot.com

Ala kulli hal, semoga blog HD (Haraki Dietitian) ini akan memberi manfaat buat semua terutama yang mengetip papan kekunci ini sendiri.

#ramadhankareem 1435H