Monday 12 January 2015

Aurangzeb Alamgir


Saya mula mengenali nama Aurangzeb Alamgir daripada tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam Majalah Solusi.

Dalam tulisan itu, nama beliau disebutkan sepintas lalu sebagai salah seorang maharaja yang soleh dalam tamadun Islam. Beliau diletakkan sebaris dengan Umar ibn Abdul Aziz, Salahuddin al-Ayyubi, Muhammad al-Fatih.

Tika itu, saya tertanya-tanya siapakah insan bernama Aurangzeb ini. Sejarahnya tidak begitu masyhur laksana sejarah Salahuddin al-Ayyubi atau Muhammad al-Fatih.

Saya masih ingat lagi, ketika itu saya di tingkatan lima. Akses kepada internet ketika itu sedikit sebanyak membantu saya mengenali tokoh dalam sejarah ketamadunan Islam yang 'tidak masuk exam' ini.

Aurangzeb Alamgir, salah seorang pemerintah Kerajaan Mughal di benua kecil India. Baginda merupakan pemerintah keenam Kerajaan Mughal. Diletakkan sebaris dengan Akbar, Jahangir dan Shah Jahan daripada sudut keupayaan politik, baginda merupakan salah seorang daripada empat pemerintah Mughal yang telah berjaya membawa Mughal mencapai zaman keemasannya.

Bercita-cita untuk mendirikan Dar al-Islam, anak kepada Shah Jahan dan Mumtaz Mahal dilihat sangat berbeza dengan maharaja-maharaja Mughal yang sebelumnya terutama sekali moyangnya Akbar yang telah mengasaskan ajaran sesat bernama Din Ilahi.

Sistem perundangan dan pentadbiran Islam dilaksanakan semula pada zaman baginda setelah diabaikan oleh maharaja-maharaja Mughal yang sebelumnya. Baginda menghapuskan cukai-cukai yang tidak selari dengan Islam dan menggazetkan semula sistem jizyah yang dihapuskan ketika zaman Akbar. Penjualan arak, kegiatan pelacuran dan perjudian turut dibanteras pada zaman baginda.

Baginda ialah individu yang bertanggungjawab mengarahkan penyusunan kitab Fatawa-e-Alamgiri atau juga dikenali sebagai Fatwa al-Hindiyya yang merupakan kitab himpunan fatwa dalam mazhab Hanafi. Penyusunan kitab ini menjadi langkah awal dalam usaha pengimplementasian ajaran Islam dalam pentadbiran baginda.

Aurangzeb menaiki takhta Kerajaan Mughal pada 1658M. Baginda menaiki takhta ketika ayah baginda, Shah Jahan masih hidup. Hal ini berlaku kerana Shah Jahan tidak lagi berupaya mentadbir Kerajaan Mughal kerana asyik bersedih selepas kematian isterinya Mumtaz Mahal.

Aurangzeb mengambil takhta daripada Shah Jahan demi menjaga kepentingan dan keselamatan Kerajaan Mughal yang sudah mula diancam oleh kerajaan sekeliling.

Kontroversi tentang Aurangzeb Alamgir

Jika kita membaca tentang Aurangzeb daripada perspektif Barat, pastinya kita akan mendapati Aurangzeb dilukiskan dengan watak yang negatif, satu figura yang kejam, gila kuasa, tiada tolenrasi beragama dan sentiasa bermusuhan dengan orang-orang Hindu dan Sikh.

Beliau sering digambarkan sebagai seorang yang bersikap prejudis terhadap orang-orang Hindu dan Sikh serta menyisihkan mereka daripada memegang jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan.

Namun begitu, fakta memperlihatkan perkara yang sebaliknya. Jumlah orang Hindu dan Sikh yang terlibat dalam pentadbiran baginda  disebutkan lebih ramai daripada jumlah orang Hindu dan Sikh yang terlibat dalam pemerintahan Akbar yang dipotretkan sebagai maharaja Mughal yang paling ‘bertoleransi’ dalam agama.

Gila Kuasa

Aurangzeb Alamgir bukanlah seorang putera mahkota. Baginda bukan pewaris takhta yang kerajaan Mughal yang sebenarnya selepas ayah baginda, Shah Jahan. Shah Jahan memiliki empat orang putera iaitu Dara Shikoh, Shah Shuja’, Aurangzeb dan Murad Baksh. Pewaris takhta kerajaan Mughal yang sebenarnya ialah abang sulung Aurangzeb, Dara Shikoh yang menjadi putera mahkota ketika zaman pemerintahan Shah Jahan.

Aurangzeb menaiki takhta Mughal hanya selepas merebut kekuasan daripada Dara Shikoh.

AURANGZEB GILA KUASA…?

Ya, sekali imbas kita akan melihat betapa Aurangzeb seorang yang gila kuasa sehingga sangggup memerangi abangnya sendiri untuk menaiki takhta. Ini hasil imbasan umum yang kita lakukan terhadap Aurangzeb dan sememangnya ini yang dimahukan oleh orientalis.

Dalam sejarah yang dinukil oleh Barat, hanya bahagian bagaimana Aurangzeb merebut dan merampas takhta yang diboldkan tetapi apa yang mendorong tindakan Aurangzeb itu tidak diperincikan.

Balik belakang seketika ke zaman pemerintahan Akbar, kita boleh melihat parahnya penyelewengan aqidah yang telah dilakukan oleh Akbar selaku pemimpin kerajaan Mughal apabila baginda mencipta ajaran sesat berupa sebuah agama baru bernama Din Ilahi. Kepincangan tersebut ditambah lagi dengan pelaksanaan dasar-dasar liberal yang melanggar hukum-hukum Islam dalam pemerintahannya.

Dara Shikoh ialah bayangan Akbar.

Aurangzeb yang telah dididik dengan al-Qur’an dan as-Sunnah dan dibimbing oleh para ulama’ pastinya tidak boleh membiarkan Dara Shikoh mengulangi malapetaka yang dicetuskan oleh Akbar. Kemaslahatan agama perlu dijaga. Atas kesedaran ini, Aurangzeb menggerakkan kekuatannya untuk merebut kuasa pemerintahan daripada jatuh ke tangan Dara Shikoh.

Peroboh kuil Hindu

Fakta bahawa Aurangzeb pernah merobohkan beberapa kuil Hindu memang benar. Fakta ini tidak dinafikan dan ini memang menjadi peluang keemasan kepada orientalis untuk menghentam Aurangzeb semahu-mahunya.

Namun, perlu kita sedari bahawa tindakan ini mesti terdapat sebab-sebabnya yang tersendiri. Pastinya Aurangzeb yang bercita-cita membina negara Islam mengetahui tentang tegahan merosakkan atau merobohkan rumah ibadat agama lain  dalam ajaran Islam. Pasti baginda tahu bagaimana sunnah Saidina Umar bin al-Khattab r.a. tidak mengganggu gereja-gereja di Baitul Maqdis selepas pembukaannya bahkan menjamin pula keselamatan gereja-gereja tersebut.

Jika diteliti, tindakan Aurangzeb merobohkan kuil-kuil Hindu sebenarnya ialah tindakan yang berorientasikan politik dan bukannya disebabkan kebencian terhadap agama Hindu. Ini disebabkan beberapa kuil Hindu dalam wilayah kekuasaan Mughal ketika itu telah menjadi tempat pakatan pemberontak bersama kerajaan asing untuk menentang pemerintahan kerajaan Mughal. Kuil di Banaras antara contoh kuil yang dirobohkan oleh Aurangzeb kerana ancaman politik. Kuil tersebut telah  dipergunakan oleh kelompok pemberontak yang diketuai oleh Shivaji.

Akhir Hayat

Aurangzeb memerintah selama 49 tahun iaitu dari 1658M hingga 1707M. Baginda hidup dengan sangat sederhana. Baginda meninggalkan kehidupan yang bermewah-mewah dan hidup sebagai seorang yang zuhud. Segala tradisi diraja yang membazir dihapuskan pada zamannya. Tiada keramaian hari keputeraan, tiada hiburan diraja.

Dalam kesibukannya memerintah sebuah kerajaan yang luas, masih sempat baginda menyalin mushaf al-Qur’an dengan  tulisan tangannya sendiri. Itulah dia, seorang pemimpin yang zuhud, Abul Muzaffar Muhiyuddin Mohammad Aurangzeb.

Semoga Allah SWT merahmatinya.


Rujukan:

Lost Islamic History : 
http://lostislamichistory.com/aurangzeb-and-islamic-rule-in-india/


Video Dr Muhammad Musa as-Shareef : https://www.youtube.com/watch?v=XVrNpYt5g-Y