Thursday 9 July 2015

Apa yang Islam ajarkan tentang menjaga Planet?


I hope you don’t mind to pick it back and thrash it into the thrash can.” Saya memberanikan diri menegur seorang lelaki yang baru sahaja membuang sampah di perhentian bas.
Daripada rupa parasnya, kelihatannya dia seperti bukan warganegara ini. Orang Pakistan barangkali.
Teragak-agak juga saya pada mulanya untuk menegur. Namun, saya nekad untuk mencegah kemungkaran itu dengan lidah saya berbanding sekadar dengan hati.
Tambahan pula, dia sepertinya bukan warganegara ini. Jika saya sekadar membiarkan, dimana ketegasan saya dalam menjaga kebersihan ‘rumah’ saya ini. Membiarkan tetamu membuat sepah di rumah sendiri tidak tersenarai sebagai perkara yang memuliakan tetamu saya kira.
Alhamdulillah. Dia menerima teguran sederhana saya dan mengutip semula sampah yang dibuangnya.
Alam sekitar terselamat seketika daripada sebuah pencemaran kecil.

Apa yang Islam ajarkan tentang menjaga Planet?
Ibrahim Abdul-Matin dalam buku tulisannya yang terkenal, Green Deen: What Islam Teaches about Protecting the Planet menyebut satu konsep yang menarik tentang penjagaan alam sekitar daripada perspektif Islam.
Menurut beliau, ketika kecil beliau biasa solat di rumah dan masjid. Namun, beliau mengalami suatu pengalaman baru sewaktu keluar mendaki gunung apabila buat pertama kalinya beliau menunaikan solat di gunung tersebut.
“..my father related a hadith, “Wherever you may be at the time of prayer, you may pray, for it (the Earth) is all a mosque”. At that instant, and I couldn’t have been more than 5 or 6 years old, I understood for the first time: the Earth is a mosque; a mosque is sacred; therefore, the Earth is sacred. That moment…..transformed the way that I would see the world forever.”
Rasulullah S.A.W. mengajarkan bahawa seluruh bumi ini dijadikan oleh Allah S.W.T. sebagai masjid, iaitu tempat untuk bersujud kepadaNya yang membolehkan kita mendirikan solat dimana-mana sahaja asal bersih, sesuai dan selamat.
Oleh yang demikian, sebagaimana kefahaman yang disimpulkan oleh Ibrahim Abdul-Matin daripada hadis Rasulullah S.A.W. tersebut, bumi ini ialah ‘masjid besar’ yang perlu dipelihara oleh kita semua.
Buku tulisan Ibrahim Abdul-Matin ini benar-benar menarik hati saya.
Buku yang ditulis olehnya ini menjawab persoalan yang terdetik sekian lama dalam hati saya.
“Wujudkah seorang figura Islamik dalam isu pemeliharaan alam sekitar dan penjagaan bumi ini?”
Alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya telah temui seorang sekarang.

Umat Islam dan Isu Alam Sekitar
Satu fakta menyedihkan yang perlu kita sebagai umat Islam terima ialah kita sangat terkebelakang dalam isu alam sekitar dan penjagaan bumi.
Lihat sahaja di mana-mana. Gerakan-gerakan yang menyeru kepada pemeliharaan alam sekitar kebanyakannya dipelopori oleh orang bukan Islam. Kempen-kempen alam sekitar banyak dimobilasikan oleh kumpulan yang tidak berslogankan Islam atau disebut sebagai ‘tidak Islamik’.
Di manakah umat Islam dalam isu ini?
Mungkin ada segelintir yang punya kesedaran seperti Ibrahim Abdul-Matin yang mampu melihat kaitan rapat antara Islam dan pemeliharaan alam sekitar, tetapi ramainya dalam kalangan umat Islam hari ini masih terpinga-pinga apabila disebutkan tentang isu alam sekitar. Apatah lagi jika dihubungkait dengan ajaran Islam.
Kita boleh mengeksperimenkan sendiri kesedaran umat Islam tentang soal penjagaan alam sekitar ini. Tidak perlu pergi jauh, anda boleh mencubanya sendiri.
Jika anda ialah AJK mana-mana masjid atau surau, cubalah cadangkan dalam mesyuarat AJK masjid atau surau tersebut untuk mengadakan kempen kitar semula berserta dengan ceramah khusus dan pameran. Saya hampir pasti anda boleh melihat beberapa wajah AJK lain yang akan terpinga-pinga dengan idea out of the box anda.
Bukanlah kesalahan ini hendak diletakkan dibahu mereka semata-mata kerana tidak punya kesedaran. Mungkin hal ini difaktorkan oleh kurangnya seruan-seruan bernafas Islam yang mengajak kepada penjagaan alam sekitar. Ustaz-ustaz yang berceramah di masjid dan surau pun tidak ambil tahu isu ini, maka apa yang boleh diharapkan daripada yang mendengar ceramah.
Umat Islam perlu berubah. Isu alam sekitar wajib diberikan perhatian kerana ini juga sebahagian daripada perjuangan Islam. Jika tidak masakan Rasulllah S.A.W. menegur Saad R.A. ketika beliau berlebih-lebihan menggunakan air untuk berwudhu’. Sehingga baginda mengatakan bahawa pembaziran air itu tetap berlaku walaupun saat berada di sungai yang mengalir.
Abdullah ibn Umar meriwayatkan bahawa Baginda sallallahu ‘alayhi wa sallam pada suatu ketika, melintasi Saad ibn Abi Waqqas R.A. yang sedang berwudhu’ dengan menggunakan air yang banyak. Lalu baginda bertanya, “Mengapakah dengan pembaziran ini?” Saad bertanya kepada baginda: Apakah di dalam soal berwudhu’ pun dikira pembaziran? Baginda S.A.W menjawab, “Ya, (membazir tetap membazir), walaupun kamu berada di sungai yang mengalir.”
(Hadis Riwayat Ibn Majah)
Bukankah itu seruan daripada Rasulullah S.A.W. supaya menjimatkan air dan memelihara sumber air? Setelah kajian dibuat, hari ini ternyata kepada kita semua bahawa kurang daripada 1 peratus air yang terdapat di bumi ini sahaja yang boleh dimanfaatkan oleh manusia untuk kegunaan seharian. Selain itu merupakan air masin di lautan, air tawar yang tersimpan jauh di dalam bumi  dan air dalam bentuk glasier dan ais di kutub.
Begitu juga halnya tatkala Rasullah S.A.W. berpesan melalui sebuah hadis supaya menanam anak pokok tamar yang berada di tangan sekalipun ketika saat kiamat sedang berlaku. Tidakkah itu suruhan supaya menghijaukan bumi dengan pokok-pokok serta galakan untuk melakukan penanaman semula di hutan setelah aktiviti pembalakan?
“Sekiranya berlaku kiamat sedangkan di tangan salah seorang kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum kiamat. Maka hendaklah dia menanamnya, dengan itu dia mendapat pahala.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Lihatlah, betapa Islam mengajar umatnya untuk memelihara alam sekitar dan mencegah daripada melakukan kerosakan di bumi ini.
Amat malang sekali jika kita sebagai muslim bersikap tidak endah dengan isu alam sekitar.

Islamik dan Mesra Alam
Lecturer ana kongsikan dalam kelas, dia kata Islamization of Knowledge dalam engineering ni jangan hanya nampak nak kena buat kereta yang ada audio doa naik kenderaan atau apa-apa yang semacam itu. Islamization bukan sekadar itu. Apa guna kalau ada kereta yang macam itu tetapi asap dia berkepul-kepul, tak environmental friendly. Itu tidak Islamik.” Abang Faris berkongsikan idea tersebut dengan saya semasa kami bersembang tentang tajuk Islamization of Knowledge yang menjadi dasar kepada penubuhan UIAM.
Abang Faris ketika itu merupakan Presiden Persatuan Pelajar Kejuruteraan di Pusat Asasi UIAM.
Perkongsian idea daripada Abang Faris itu memberikan satu kefahaman baru kepada saya tentang bagaimana seharusnya konotasi Islamik itu patut diberikan kepada sesuatu perkara. Islamiknya sesuatu perkara itu tidak boleh diukur atau dinilai hanya daripada beberapa ayat al-Qur’an atau hadis yang kita ‘tampalkan’ padanya. Sebaliknya, nilai Islam yang terkandung dalam perkara tersebutlah yang menentukan sama ada perkara itu layak disebut sebagai Islamik atau tidak.
Dalam isu alam sekitar, kita boleh menjadikan nilai rahmatan lil ‘alamin atau rahmat kepada sekalian alam yang ada pada Islam itu sebagai kayu ukur dalam menjustifikasikan sama ada sesebuah teknologi atau pembangunan atau apa-apa sahaja perkara itu sebagai Islamik ataupun tidak. Jika perkara tersebut tidak bersifat mesra alam bahkan mencemarkan pula alam sekitar, maka perkara tersebut tidak Islamik. Sekalipun namanya kedengaran Islamik pada telinga kita.
Demikianlah bagaimana Islam itu dapat dikaitkan dengan pemeliharaan alam sekitar.

Seruan memelihara ‘masjid besar’ 
Saya meletakkan harapan yang tinggi kepada umat Islam hari ini yang semakin kembali kepada ajaran Islam terutamanya para pemuda dan pemudi untuk melakukan anjakan paradigma dalam hal ini.
Islam yang syumul menuntut kita untuk bersifat cakna terhadap alam sekitar.
Ini sekadar coretan ringkas saya untuk mengajak kepada sebuah perubahan.

Masih banyak kerja yang perlu dilakukan dan masih banyak seruan bernafas Islam yang perlu disebarkan tentang menjaga bumi agar semua dapat mengerti bahawa ‘masjid besar’ ini ialah tanggungjawab kita bersama.

No comments:

Post a Comment