Tuesday 30 December 2014

Osmanlica dan Tulisan Jawi; Nasib serupa di bumi berbeza

Keratan akhbar lama Turki yang menggunakan tulisan Osmanlica.  

Beberapa minggu yang lepas, perbincangan tentang Osmanlica rancak dalam kalangan sahabat-sahabat saya. Osmanlica, dibaca dengan bunyi "Osmanlija" merupakan sebuah sistem tulisan bagi bahasa Turki yang menggunakan huruf-huruf al-Qur'an atau disebut sebagai huruf-huruf hijaiyah. Osmanlica merupakan sistem tulisan pada era pemerintahan Turki Uthmaniyyah.

Osmanlica sama seperti tulisan Jawi yang mana sistem tulisannya menggunakan huruf-huruf al-Qur'an tetapi digunakan untuk bahasa selain bahasa Arab. Sebagaimana tulisan Jawi digunakan untuk bahasa Melayu, Osmanlica digunakan untuk bahasa Turki.

Ketika saya mengendalikan sesi ceramah berbentuk wawancara tentang Turki Uthmaniyyah beberapa minggu yang lepas bersama Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman, beliau ada mengisahkan tentang campur tangan Presiden Turki yang baru dilantik, Recep Tayyip Erdoğan dalam urusan pentadbiran Kerajaan Turki yang mana beliau ingin mewajibkan pelajaran Osmanlica dalam sistem pendidikan Turki. Beliau yang sebelumnya merupakan Perdana Menteri Turki yang dilihat memiliki fikrah Islami kini lebih berani dalam berkonfrontasi dengan warisan sekularisme di Turki selepas diberi mandat oleh rakyat untuk menjadi Presiden.

Osmanlica merupakan salah satu warisan Islam yang telah dicabut oleh kelompok sekular daripada bangsa Turki setelah mereka membunuh Daulah Uthmaniyyah. Apabila Osmanlica dicabut daripada bangsa Turki, maka terputuslah hubungan antara generasi era pasca-Republik Turki dengan generasi era Uthmaniyyah.

Osmanlica yang selama ratusan tahun menjadi medium persuratan rasmi di dataran Anatolia pastinya menyimpan banyak maklumat-maklumat penting tentang identiti sebuah bangsa yang telah dimuliakan Allah kerana Islam yang mereka junjungi. Namun, semua ini gagal diakses oleh generasi pasca-Republik Turki akibat di'buta huruf'kan oleh pemerintah sekular Turki sebelum ini.

Harapnya, tindakan Presiden baru Turki ini akan memberi pembelaan kepada Osmalica dan memberi sinar kepada pembangunan semula tradisi Islam yang pernah bertapak gah di negara dua benua itu.

Itu kisah duka tentang Osmanlica yang sudah mendapat pembelaan. Bagaimana pula dengan kita? Bagaimana dengan tulisan jawi kita?

Tulisan jawi telah dimansuhkan penggunaannya di Malaysia tidak lama selepas merdeka iaitu dalam tempoh dekad 1960-an. Mungkin tindakan ini tidaklah seradikal tindakan pemerintah republik Turki suatu ketika dahulu yang mengharamkan Osmanlica secara total sehingga melibatkan tindakan undang-undang. Namun, tindakan memansuhkan tulisan jawi ini menatijahkan tragedi kejahilan agama yang sangat menyedihkan dalam kalangan orang Islam di Malaysia.

Huruf-huruf jawi kesemuanya merupakan huruf-huruf hijaiyah yang berasal daripada al-Qur’an kecuali huruf ‘ca’, ‘nga’, ‘ga’, ‘pa’, ‘vi’ dan ‘nya’. Belajar mengenal huruf-huruf jawi bermaksud belajar mengenal huru-huruf al-Qur’an dan belajar menulis dengannya beerti belajar menulis menggunakan huruf-huruf al-Qur’an. Jika tulisan jawi masih digunakan, saya yakin bahawa tidak akan ada yang buta al-Qur’an dalam generasi muda kini. Hal ini disebabkan generasi muda ini akan dekat dengan huruf-huruf al-Qur’an ketika mereka membaca dan menulis dalam bahasa Melayu bermediumkan tulisan jawi dan perkara ini memudahkan pembelajaran al-Qur’an dalam kalangan masyarakat.

Ketika mula belajar di Pusat Asasi UIAM dahulu, kami pelajar-pelajar tahun pertama diwajibkan untuk menduduki ujian bahasa Arab.  Bagi pelajar-pelajar yang tiada asas bahasa Arab daripada sekolah menengah seperti saya, kami akan dimasukkan ke kelas Quranic Language untuk mempelajari bahasa Arab asas.

Di dalam kelas tersebut, kami perlu menulis menggunakan tulisan hijaiyah bagi memudahkan pembelajaran. Alhamdulillah, saya mampu menulis menggunakan huruf-huruf hijaiyah dengan lancar hasil daripada praktis menulis dan membaca dalam tulisan jawi ketika di tingkatan lima dahulu. Namun, ada rakan-rakan saya yang kurang bernasib baik. Mereka tidak mampu menulis menggunakan tulisan hijaiyah dengan lancar. Hal ini menyebabkan mereka sukar untuk menguasai subjek Quranic Language yang diajarkan hanya dalam masa empat bulan.

Subjek Quranic Language yang saya ambil di Pusat Asasi UIAM ini sebenarnya sangat membantu saya untuk lebih memahami al-Qur’an ketika dibaca. Hafazan ayat-ayat al-Qur’an juga menjadi lebih mudah kepada diri saya selepas saya mengambil subjek ini. Kunci utamanya ialah mengetahui bahasa Arab. 

Daripada situasi ini saya mula sedar betapa besarnya impak tulisan jawi kepada pemahaman masyarakat Islam khususnya dalam kalangan bangsa Melayu terhadap agama Islam. Tindakan mem’buta huruf’kan orang Melayu daripada tulisan jawi mengakibatkan ramai orang Melayu tidak boleh mengakses mesej-mesej daripada al-Qur’an secara terus dan menghilangkan penghayatan mereka kepada al-Qur’an itu sendiri.

Pada saya, salah satu faktor terbesar mengapa timbulnya pelbagai masalah sosial dalam masyarakat Melayu pada hari ini ialah kerana hilangnya tulisan jawi. Hilangnya tulisan jawi menatijahkan kesukaran mempelajari bahasa Arab. Apabila sukar mempelajari bahasa Arab maka sukar memahami dan menghayati al-Qur’an. Apabila sukar memahami dan menghayati al-Qur’an maka jauh daripada Islam. Apabila jauh daripada Islam maka punahlah masyarakat.

Reaksi berantai ini perlu kita renungkan bersama dalam usaha kita merawat masyarakat dengan menawarkan solusi supaya kembali kepada Islam. Saya percaya tulisan jawi mampu mendekatkan semula kita dengan penghayatan Islam sebagai cara hidup dan seterusnya menghidupkan kembali warisan Islam di nusantara ini.    

Alhamdulillah, belakangan ini kita melihat ada usaha menghidupkan semula tulisan jawi. Namun, usaha ini masih belum cukup gah dan memerlukan dokongan yang konsisten daripada semua pihak yang memiliki kesedaran untuk terus maju. Semoga kebangkitan Osmanlica di dataran Anatolia dan semarak jawi di Alam Melayu ini akan terus mekar dan seterusnya menjadi pemangkin kepada kegemilangan Islam.




No comments:

Post a Comment